BORNEO INTERNATIONAL PARAGLIDING ACCURACY CHAMPIONSHIP 2023 (BIPAC 2023)
Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) telah menganjurkan Kejohanan Borneo International Paragliding Accuracy Championship 2023 Siri 1 dengan kerjasama Sabah Tourism Board (STB) dan Kelab Luncur Udara Hi- Fly bertempat di Ranau, Sabah dari 26-28 Mei 2023.
Kejohanan Antarabangsa ini merupakan kali pertama penganjurannya selepas tahun 2014 di Ranau, Sabah. Penglibatan 75 orang peserta dan petugas dari 4 buah negara iaitu Indonesia, Singapura, India dan Nepal dalam kejohanan ini.
Bagi kategori pertandingan pula, 5 kategori utama yang dipertandingkan iaitu pemenang keseluruhan individu, individu kebangsaan, Wanita dan Pasukan termasuk Piala Adlin. Acara ini merupakan Kejohanan Paragliding Kategori Dua (CAT 2) yang diiktiraf oleh Badan Sukan Udara Dunia (FAI). Keputusan pertandingan peserta yang memasuki pertandingan ini akan dimasukkan untuk ke ranking dunia.
Bagi kategori individu, juara keseluruhan disandang oleh Rizky Maulana (Indonesia) diikuti Aris Afriansyah (Indonesia) sebagai Naib Juara, Muhammad Aqilludin (Malaysia)di Tempat Ketiga.
Bagi kategori berpasukan, Indonesia merangkul kejuaraan kali ini diikuti pasukan dari Malaysia untuk Naib Johan dan Tempat Ketiga.
Selain medal , Kejohanan ini juga menawarkan hadiah wang tunai. Kejohanan kali ini memperlihatkan ramai wajah-wajah baru dan juruterbang muda yang dilihat amat berbakat dan mempunyai peluang ke kejuaraan peringkat dunia.
Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Wakil Ketua Eksekutif Sabah Tourism Board Puan Tay Shu Lan dan Pengasas Piala Adlin, Tengku Zainal Adlin.
Wakil Sabah Tourism Board berkata, penganjuran ini diharapkan dapat menjadikan Ranau sebagai Hub Sukan Udara di Borneo yang mampu menerima juruterbang-juruterbang Paragliding dari dalam dan luar negara. Secara tidak langsung, ianya juga dapat mengangkat kejohanan sukan ini sebagai acara tahunan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sabah dan Malaysia.